Konteks dan perkembangan sejarah Hikayat_Pinggir_Air

Sebuah ilustrasi novel

Sebahagian kecil Hikayat Pinggir Air  berdasarkan penjahat sejarah, Song Jiang, berserta 36 orang rakannya. Gerombolan ini aktif di kawasan Sungai Huai, tetapi akhirnya menyerahkan diri kepada askar-askar kerajaan pada tahun 1119. Mereka dicatatkan dalam sejarah rasmi Dinasti Song (宋史), dengan nama Song Jiang muncul dalam bab mengenai Maharaja Huizhong, dan kegiatan gerombolannya dalam bab mengenai Zhang Shuye (張叔夜).

Cerita-cerita budaya rakyat mengenai Song Jiang tersebar semasa Dinasti Song Selatan. Teks pertama yang menamai 36 orang rakannya ialah karya Guixin Zashi  yang ditulis pada abad ke-12. Antara 36 orang rakan itu ialah Lu Junyi, Guan Sheng, Ruan Xiaoer, Ruan Xiaowu, Ruan Xiaoqi, Liu Tang, Hua Rong dan Wu Yong. Sesetengah watak yang kemudian dikaitkan dengan Song Jiang juga muncul pada sekitar masa ini. Mereka termasuk Sun Li, Yang Zhi, Lin Chong, Lu Zhishen, dan Wu Song.

Salah satu perintis langsung kepada Hikayat Pinggir Air  ialah karya Da Song Xuanhe Yishi  (大宋宣和遺事, peristiwa-peristiwa lama pada zaman Xuanhe dalam Dinasti Song) yang muncul pada sekitar pertengahan abad ke-13. Teks itu pada dasarnya menepati versi para pencerita lisan yang mendasarkan peristiwa-peristiwa sejarah secara kurang tepat. Ia dibahagikan kepada sepuluh bab, dan lebih kurang meliputi sejarah Dinasti Song dari awal abad ke-11 sehingga pengasasan rejim Song Selatan pada tahun 1127. Bab keempat meliputi pengembaraan Song Jiang dan 36 orang rakannya sehingga kekalahan mereka pada akhirnya kepada Zhang Shuye (張叔夜). Sesetengah cerita dan watak yang lebih terkenal dalam Hikayat Pinggir Air  dapat ditemukan dalam karya ini, termasuk "Yang Zhi menjual pedangnya", "Mencuri hadiah hari jadi", Song Jiang membunuh abdi perempuannya", "Berlawan dengan Fang La", dan sebagainya. Ia berlatarkan pengembaraan Song Jiang dan rakan-rakannya di Gunung Taihang, dengan gerombolannya terdiri daripada bermacam-macam orang, termasuk nelayan, bekas pelatih tentera empayar, pemilik rumah penginapan, dan sebagainya.

Cerita-cerita tentang penjahat-penjahat dari Gunung Liang merupakan salah satu jalan cerita yang popular dalam drama Dinasti Yuan. Sejak dari masa itu, bahan-bahan yang mendasarkan Hikayat Pinggir Air  telah berkembang menjadi bentuk masa kini. Bilangan penjahat Song Jiang juga telah ditambahkan menjadi 108 orang, dan walaupun mereka berasal daripada latar belakang yang berbeza, mereka akhirnya mendiami di Gunung Liang.

Terdapat sebuah teori yang mengatakan bahawa Hikayat Pinggir Air  menjadi popular semasa Dinasti Yuan kerana orang ramai berasa geram terhadap para pemerintah Mongol. Mempromosikan Hikayat Pinggir Air  yang menonjolkan pemberontakan Song Jiang tidak menimbulkan sebarang bahaya kerana novel ini mengkritik Dinasti Song pada zahirnya, walaupun ia secara tersirat juga menyeru para penduduk supaya menentang semua kerajaan yang korup.